03 January 2011

Mengucap Dua Kalimah Syahadah



Assalamualaikum WBT

Post kali ini kita akan belajar berkenaan perkara paling asas dalam Islam dan berada pada tangga no.1 dalam Rukun Islam iaitu pengucapan dua kalimah Syahadah. Kalimah berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud perkataan. Manakala Syahadah juga berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud penyaksian. Kesimpulannya dari segi bahasa Mengucap dua kalimah syahadah bermaksud mengucapkan dua perkataan penyaksian.

Apakah perkataan itu?? perkataannya ialah:
" Ashadu allaaa ilaaa ha illallah, wa ash hadu annamuhammadar rasulullah"
Maksudnya:
"Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah"

KONSEP & PENGERTIAN
Dua kalimah Syahadah merupakan intisari dari keseluruhan pengertian dan konsep Rukun Islam dan Rukun Iman yang akan dijelaskan di bawah yang menjadi tuntutan Fardhu Ain (kewajipan Asas) bagi setiap orang Islam mengetahui dan mengamalkannya.

Dua kalimah Syahadah adalah pengakuan atau ikrar setiap individu Islam tentang adanya Allah yang maha Esa dan Nabi Muhammad S.A.W. itu pesuruhNya. Dua kalimah Syahadah itu wajib diucapkan sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam iaitu ketika mengerjakan Solat Fardhu, ketika membaca Tahiyyat awal & akhir (amalan dalam solat). Demikian juga semasa mengerjakan solat-solat sunat, Dua kalimah Syahadah ini wajib diucapkan semasa mabaca Tahiyyat awal & akhir.

Selain dari Dua kalimah Syahadah ini juga wajib diucapkan dalam upacara seseorang yang bukan Islam memeluk Agama Islam. Lafaz ini menjadi pengesahan bahawa mulai saat itu, ia telah menjadi seorang Islam. Apabila seseorang telah berikrar menjadi orang Islam, maka berkewajipanlah ia mentaati segala hukum-hukum Syar'iyah (hukum perundangan Islam) yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Bagi memperteguhkan lagi pengakuan dan ikrar tersebut, Umat Islam bukan sahaja disuruh mengucapkan kalimah Syahadah ini di dalam solat, bahkan hendaklah selalu di ulang-ulangi menyebutnya. Menyebutnya di luar solat dipanggil "Zikir" yang bererti mengingati Allah.

Ucapan Zikir iaitu mengingati Allah itu ada berbagai-bagai nama dan cara sebutannya seperti Tahlil,Tasbih, Tahmid dan lain-lain. Tetapi zikir yang paling utama (menurut sebuah hadis Rasulullah S.A.W.) ialah menyebut: "Laa ilaa ha illallah"
Bermaksud: " Tiada Tuhan Selain Allah"

Kita digalakkan agar sedapat mungkin mengamalkan kalimah zikir ini seberapa banyak yang mungkin dalam apa jua keadaan, dimana sahaja melainkan ketika di dalam tandas. Jika tidak dapat melafazkannya dengan lisan (lidah), cukup sekadar berzikir di dalam hati.

Dipetik dari buku : Perkara Asas Fardhu Ain karangan Hj Johari Alias

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Powered by Blogger